Wednesday, March 17, 2010

PENGUATKUASA HALAL DI 'KURUNG'

ARKIB : 17/03/2010

REMBAU 16 Mac - Pengusaha sebuah kilang memproses ayam di Pedas dekat sini bertindak di luar dugaan apabila 'mengurung' 12 pegawai dari dua agensi penguatkuasaan yang melakukan serbuan di premis itu hari ini.

Pengusaha tersebut bertindak mengunci pagar premis itu ketika serbuan dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada pukul 5.30 petang.

Turut terperangkap di dalam premis itu ialah tiga wartawan dan dua jurukamera yang membuat liputan serbuan berkenaan.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan oleh pihak pengusaha bagi menghalang sebarang berita dan gambar mengenai serbuan Jakim dan KPDNKK di premis itu dilaporkan oleh pihak media.

Mereka 'dikurung' selama kira-kira tiga jam dan hanya dapat keluar dari kilang itu selepas polis tiba dan melakukan rundingan dengan pengusaha berkenaan.

Penolong Pengarah Jakim, Mohd. Amri Abdullah yang ditemui pemberita menjelaskan, operasi itu dibuat berikutan rampasan satu tan metrik ayam di Pulau Pinang kerana diragui cara penyembelihannya.

"Siasatan awal kami mendapati kilang ini membekalkan ayam kepada salah sebuah syarikat yang membekalkannya pula kepada salah sebuah pasar raya terkenal di Pulau Pinang.

"Berikutan maklumat itu, sepasukan anggota KPDNKK dan Jakim bertindak memeriksa kilang ini," katanya.

Mohd. Amri memberitahu, Jakim menggantung sementara sijil halal kilang terbabit sehingga siasatan selesai.




aku pun pening dengan manusia zaman sekarang. tak cukup sesitif dengan isu-isu besar camni. Penguatkuasa menjalankan tugas.sekurang-kurangnya menyelamatkan umat islam di Malaysia ni dari makan yang syubhah. Apa-apa pun kita tunggu la pe tindakan lanjut yang akan dikenakan keatas pengusaha kilang tersebut. bagi pendapat aku eloklah dikenakan tindakan yang setimpal sebab isu ni membabitkan sensitiviti umat islam. sekurang-kurangnya dapat dijadikan iktibar dan teladan kepada pengusaha-pengusaha kilang makanan dan rumah sembelihan yang lain....ingat..tu baru dunia.akhirat kita tak tau lagi.....................

No comments:

Post a Comment