Thursday, April 8, 2010

BALASAN BERIMAN DAN BERAMAL KEBAJIKAN

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Nasaara (Nasrani), dan orang-orang Saabi`in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya disisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita"
(Al-Baqarah: 62)

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap orang yang beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat serta mengerjakan amalan soleh akan memperoleh ganjaran masing-masing di sisi ALLAH SWT tanpa mengira kaum atau golongan. mereka juga akan beroleh ketenangan jiwa dan terhindar daripada perasaan bimbang terhadap perkara-perkara buruk.
ALLAH SWT menegaskan bahawa perkara yang diambil kira sekarang ialah hakikat akidah mereka dan bukannya jenis bangsa atau kaum seseorang itu. Hakikatnya mereka merupakan keturunan daripada Nabi Adam dan isterinya Hawa. Namun begitu, yang membezakan manusia hanyalah tahap keimanan dan ketakwaan seseorang itu kepada ALLAH SWT yang Maha Besar lagi Maha Agung.
Semua umat Islam wajib taat dan patuh kepada pencipta mereka kerana tujuan utama ALLAH SWT menciptakan hamba-hambaNya tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya atau dengan kata lain semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH SWT.
ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik bagi hambaNya yang taat dan patuh, manakala bagi umat manusia yang engkar, ALLAH SWT menjanjikan balasan yang pedih di akhirat kelak. Oleh yang demikian, beruntunglah orang-orang yang sentiasa membuat amal kebaikan semasa hidup di dunia ini sebagai persediaan bekalannya di akhirat.

No comments:

Post a Comment